BORACAY (Filipina): Ramai rakan dialog ASEAN berminat untuk menyokong pelancaran teknologi 5G di seluruh negara, kata Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Digital Datuk Seri Mohammad Mentek.

Bercakap kepada Bernama di luar Mesyuarat Menteri-Menteri Digital ASEAN (ADGMIN), Mohammad berkata walaupun penandaarasan rakan dialog ialah tindakan seterusnya, Malaysia tidak komited terhadap mana-mana rakan dialog berkenaan dengan teknologi 5G.

"Sebaliknya, kami melihat yang terbaik daripada seluruh dunia untuk manfaat rakyat. Dengan Digital Nasional Berhad (DNB) yang kini sebahagian daripada Kementerian Komunikasi dan Digital kami berharap dapat memudahkan penggunaan teknologi 5G yang lancar di seluruh negara," katanya.

Beliau berkata memandangkan Malaysia beralih ke 5G, program Jalinan Digital Negara (JENDELA) sedang dilaksanakan untuk memastikan ketersambungan.

Hal ini kerana katanya, memerlukan infrastruktur yang sangat berkemampuan untuk disediakan dan perhatian terhadap perlindungan data dan keselamatan siber.

ASEAN telah mewujudkan perkongsian dialog dengan beberapa negara antaranya China, India, Jepun, Korea Selatan, Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah.

Terdahulu, Mohammad menghadiri mesyuarat fizikal pertama Mesyuarat Pegawai Kanan Digital ASEAN Ketiga (ADGSOM), dua mesyuarat lepas diadakan secara maya. Malaysia ialah negara pertama diberi penghormatan menganjurkan ADGMIN / ADGSOM pertama pada Januari 2021.

Mesyuarat itu membincangkan perkara mengenai mesyuarat peringkat tinggi ASEAN dan keputusannya yang akan memberi impak kepada ADGMIN hari ini, meletakkan asas untuk membentuk semula landskap digital pasca-COVID-19 di rantau ini, khususnya dalam menangani jurang digital.

"Negara anggota ASEAN mempunyai program sendiri di negara masing-masing untuk mengatasi cabaran dan jurang digital. Terdapat perkongsian berterusan mengenai amalan terbaik dalam bentuk dasar dan pelaksanaan. Ini ialah forum yang baik untuk kita belajar antara satu sama lain.

"Di Malaysia kita ada program JENDELA. Malah, pandemik itu mempercepatkan pendigitalan kebanyakan urusan kerana ramai yang bekerja dari rumah dan perniagaan juga berkembang secara digital, keperluan untuk ketersambungan meningkat pada masa ini," kata Mohammad.

Banyak langkah diambil dengan kerjasama syarikat telekomunikasi.

"Kami juga mempunyai Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) di hampir 1,000 lokasi di seluruh negara untuk memudahkan kawasan luar bandar dan pinggir bandar berhubung antara satu sama lain. Terdapat banyak kisah kejayaan berkaitan dengan perniagaan luar bandar yang berkembang maju," katanya.

PEDi juga menyediakan peluang kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam aktiviti perdagangan digital.

Dari Mei hingga Disember 2022, inisiatif itu berjaya memasukkan 11,220 usahawan ke platform e-dagang yang merekodkan hasil jualan sejumlah RM27.9 juta dalam tempoh lapan bulan, meningkat 57 peratus berbanding 2021.

Ia bertujuan mendigitalkan perniagaan tradisional dan mengubahnya kepada penggunaan digital, sekali gus membolehkan usahawan menjangkau seberapa ramai pengguna yang mungkin.

-- BERNAMA